Monday, June 2, 2014

Oh Mama! Poket ku kosong!

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani




Islam adalah agama yang membawa kearah cara hidup yang komprehensif dengan memberi penekanan penting dengan meletakkan garis panduan serta piawaian yang tinggi dan terperinci bagi membimbing manusia kearah kebenaran dan ketenangan. Dalam Islam, perkahwinan dan hubungan kekeluargaan adalah perkara mulia yang dipandang tinggi serta boleh dijadikan salah satu tanda-tanda kebesaran Allah. 

Allah ada berfirman yang membawa maksud:
“ Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).”( Adz-Dzariyaat: 49)
Setiap manusia mempunyai keinginan untuk berkahwin. Allah sudah menetapkan, sejak zaman Nabi Adam sekalipun sudah mempunyai keinginan bersama-sama berkongsi hidup dengan pasangan berlainan jantina. Begitulah fitrah manusia yang Allah ciptakan iaitu mahu dikasihi, mempunyai pasangan hidup serta keluarga sebgai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang. Oleh yang demikian, semua orang yang sudah berkemampuan dan cukup syarat disarankan untuk berkahwin dan membina keluarga. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Rum ayat 21 yang bermaksud:

“ Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan diantara kamu suami isteri perasaan kasih saying dan belas kasihan.”

Seperti yang kita sedia maklum, berkahwin adalah salah satu sunnah Nabi selain daripada berwangi-wangian, bersugi dan sifat malu. Manakala sunnah itu sendiri merupakan satu amalan yang dijanjikan balasan pahala terhadap orang yang melaksanakannya.
Sabda Baginda yang bermaksud: “ Perkahwinan itu sunnahku. Sesiapa yang menolak sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat Bukhari).
Oleh itu, jelaslah perkahwinan amat dituntut dalam Islam.
Perkahwinan ialah antara ibadah yang paling disukai oleh iblis dan syaitan untuk dirosakkan kerana kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit bahkan mampu menjadi krisis yang besar dan mengundang pelbagai dosa seperti permusuhan, perebutan hak, fitnah dan sebagainya.

Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Jabir RA yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya untuk menghasut manusia melakukan kejahatan. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah melakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis pun menjawab : ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.”
Nabi sallallahualaihi wasallam melanjutkan, 
“Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku telah mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan dalam keadaan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis pun memanggilnya agar dia dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.”(Hadis Sahih riwayat Muslim).
Perkahwinan amat berkait rapat dengan aqidah seperti baju dengan jarum. Walaupun baju adalah sejenis pakaian dan diperbuat daripada kain manakala jarum pula adalah besi yang berasal daripada logam namun hubungkait antara keduanya amat rapat kerana tanpa jarum maka baju itu tidak akan dapat dijahit sama sekali.

Di sisi orang yang beriman, perkahwinan akan menjadi alat untuk mengukuhkan ikatan tersebut apabila hubungan suami isteri, kasih sayang dan hubungan kekeluargaan yang terbina dapat menjadi nikmat dan kekuatan kepada diri masing-masing di dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sebagai seorang muslim, kita haruslah yakin dengan janji Allah yang disebut dalam Surah An-Nur ayat 26 buat mereka yang ingan berkahwin iaitu :

“ Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”

Namun bagi mereka yang lemah imannya perkahwinan akan menjadi alat kesukaan syaitan yang dipermainkan untuk menyesatkan manusia. Waktu itu, suami isteri, anak-anak akan bertukar menjadi fitnah dan penyebab kerosakkan dan pemutus hubungan dengan Tuhannya.

Terdapat banyak persediaan yang harus dititik beratkan sebelum berkahwin. Persediaan dari segenap sudut adalah amat penting dan haruslah dimiliki oleh setiap pasangan khususnya bakal-bakal suami dan lelaki yang akan menjadi ketua keluarga dan pemimpin dalam kehidupan isteri dan anak-anaknya. Dalam perbincangan khutbah kali ini kita akan lebih memfokuskan persediaan dari segi kewangan dan ekonomi dalam menuju ke gerbang perkahwinan dan kehidupan bekeluarga. Hari ini sering kita melihat bahawa sesuatu perkahwinan itu menjadi perkara yang rumit dan menyusahkan. Mengapa perkara ini boleh terjadi? Ramai di antara kita yang beranggapan untuk berkahwin, seseorang haruslah sudah memiliki kenderaan, rumah besar, wang yang banyak dan sebagainya. Perkara ini sama sekali tidak pernah disarankan dalam ajaran Islam.

Berdasarkan Sabda Rasululah SAW yang membawa maksud :
“Carilah rezeki dengan menikah.”(Riwayat Ibnu Abbas)

Hal ini diperkukuhkan lagi dalam firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 32 yang bermaksud:
“Dan kahwinilah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan meeka dengan kurnian-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”


Kita haruslah yakin yang Allah akan membantu mereka yang menikah. Allah Maha Adil dan akan memluaskan jalan-jalan rezeki buat mereka yang sudah berkahwin terutamanya lelaki dalam menunaikan tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.
Ramai diantara kita yang mengalami kesempitan dari segi kewangan mendapat rezeki yang melimpah ruah apabila berkahwin. Kerena apa? Perkara ini boleh dikaitkan dengan Hadis Riwayat Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah Hadis no. 2518, dan Hakim 2: 160 iaitu:

“ Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya.”
 Maka sebagai muslimin yang sentiasa inginkan keredhaan daripada Allah haruslah meyakini semua jnji-janji yang telah Allah tegaskan kepada kita. Janganlah kita lupa untuk berdoa kepada-Nya kerana:

“Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat (Surah Al-Baqarah ayat 153)
Akan tetapi ramai diantara kita yang tidak betul-betul memahami konsep bantuan atau pertolongan yang dijanjikan oleh Allah buat mereka yang berkahwin. Malah mereka seolah-olah menjadikan kata-kata Allah tersebut sebgai tiket untuk mereka berkahwin tanpa berusaha terlebih dahulu melengkapkan diri terutamanya dalam aspek kewangan. Konsep sebegini adalah dilarang kerana seperti yang telah ditegaskan sebelum ini, mereka yang sudah berkemampuan dan cukup syarat disarankan untuk berkahwin.

Ini kerana dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, 
"Barangsiapa memiliki kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu menjaga pandangan serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa. Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah."


Hadis ini menunjukkan bahawa bila ada kemampuan, kahwinlah. Jangan ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak mampu, ia tidak boleh berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.

Jadi, jelas menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama yang menganjurkan perkahwinan dan ia melihat bagi yang mampu, lebih cepat berkahwin adalah lebih baik. Oleh yang demikian, dalam konteks sekarang, kalau sudah berkemampuan, kahwinlah dan jangan tangguh-tangguh lagi. Tambah pula jika penanguhan itu bagi tujuan-tujuan seperti untuk memenuhi kepuasan hidup bujang atau untuk mengelakkan diri dari dikongkong. Ini tentunya bertentangan dengan Islam kerana perkara-perkara ini akan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang tidak baik.

Persediaan juga harus dilakukan sebelum melangkah ke alam rumahtangga. Ia meliputi persediaan dari segi minda dan kerohanian, fizikal, kewangan dan spiritual. Pasangan yang ingin berkahwin perlulah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Mereka juga hendaklah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga. Soal hukum-hakam dan ilmu agama amatlah penting,begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi,menguruskan sumber (masa,wang dan tenaga) dengan baik. Pasangan juga perlu membuat persediaan fizikal kerana dengan mempunyai kesihatan yang baik dapat membuatkan pasangan melakukan tanggungjawab dengan sempurna. Persediaan dari segi kewangan juga perlu mengikut kadar kemampuan setiap pasangan. Ini kerana walaupun pasangan yang berkahwin itu masih belum mempunyai pendapatan yang stabil atau banyak, jika mereka mahir menguruskan kewangan mereka itu sudah mencukupi untuk mereka menjalani kehidupan berumah tangga. Ini sudah dinyatakan dalam ayat 5-6 surah al- Insyirah yang bermaksud

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”

Perkahwinan itu secara tidak langsung membawa kepada perubahan peranan ke atas kedua-dua pihak. Contohnya mereka yang berumahtangga kini mempunyai hubungan sosial dengan mertua dan saudara mara pasangan.Oleh itu bakal pasangan perlu memastikan diri masing-masing untuk menerima segala nasihat dan tunjuk ajar daripada mentua masing-masing. Ini termasuklah gaya hidup dan pergaulan. Mereka juga harus pandai menyesuaikan diri sama ada dengan pasangan, keluarga dan mertua jiran mahupun rakan-rakan.

Persediaan yang terakhir yang mana merupakan perkara yang sangat penting iaitu persediaan dari segi pengetahuan agama. Seperti yang terkandung dalam al Quran, Allah swt telah berfirman :

“Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat adalah buat wanita-wanita yang jahat (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)
Jadi apabila  ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Penghayatan tentang agama itu sangat penting dan secara tidak langsungnya dapat diaplikasi dalam perbuatan ataupun akhlak seseorang itu sendiri.


 Rumusannya, perkahwinan adalah satu amanah, bukan satu barang mainan. Dalam amanah ada pertanggungjawabannya. Maka bersiaplah dan perlengkapkanlah diri kita sebaiknya dan janganlah mengikut hawa nafsu. Ingat, amanah ini amat berat dan melibatkan masa depan kita di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah Al Anfaal ayat 27 yang bermaksud:


“ Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah SWT dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan keatas kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Baiti Jannati, begitulah Rasulullah SAW menggambarkan kehidupan rumah tangga baginda yang penuh dengan detik keharmonian, kebahagiaan dan ketenangan. Sakinah, mawaddah dan rahmat. Inilah 3 misi besar yang perlu seorang bakal suami semai dan bina dalam rumahtangga yang bakal di bina. Rumahtangga yang di bina bukan atas dorongan syahwat pada kecantikan, kekayaan harta, pangkat atau jawatan serta terpesona pada dunia yang melalaikan. Sebaiknya binalah rumahtangga kita atas dasar ketaatan kepada Allah SWT. Suami dan isteri yang menjadikan iman sebagai pedoman melakar tumahtangga yang diredhai Allah SWT.  Ya, misi perkahwinan dan pembinaan keluarganya adalah berorientasikan kerana Allah. Dari Mu’adz bin Anas, sesungguhnya Rasulullah bersabda,

Barang siapa memberi kerana Allah, tidak memberi kerana Allah, mencintai kerana Allah dan berumahtangga kerana Allah maka sungguh imannya sempurna’ (HR. Ahmad). 
REFERENCES :
Article retrieved from online database



Khutbah posted by:
HAWA
Group Members:
  • NABIHAH BINTI ANI (SA12045) 
  • FARAHANIS SYAZWANA MOHD KHAIRUDIN (SA12029)
  • ROHAZIELA RASID (SA12013)
  • NURUL IZZATY MOHD ZUBIR (SA12035)
  • NASUHA MAD NAWI (SA12028)
  • NOR AININA ROZALLI (SA12026)
  • SITI FATIHAH HASAN (SA12033)
  • NADHIRAH HANI HASSAN BASRI (SA12008)

No comments:

Post a Comment